Abna.ir


Wakil Syiah Imamiyah Malaysia serah memorandum kepada SUHAKAM + Sebaran Media
Wakil Syiah Imamiyah Malaysia serah memorandum kepada SUHAKAM + Sebaran Media

Sekumpulan pengikut Syiah Imamiyah hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan menuntut permohonan maaf dari pihak JAIS

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Sekumpulan pengikut Syiah Imamiyah hari ini yang diketuai Haji Kamil Zuhairi bin Abdul Aziz menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) sambil mendakwa berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap mereka menurut laporan berita Malaysiakini.

Kumpulan 30 orang itu mendakwa tindakan Jabatan Agama Islam Selangor menyerbu Hawzah Imam Ridha (a.s.) di Gombak pada 15 Disember lalu bercanggah dengan pelbagai peruntukan, antaranya Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Perlembagaan Persekutuan.

"Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bait (Syiah) di Malaysia memohon perlindungan hak daripada Suhakam berpaksikan Perlembagaan Malaysia agar hak minoriti kami sebagai rakyat Malaysia dilindungi pihak-pihak berwajib," kata jurubicaranya Kamil Zuhairi Abdul Aziz.

"Sekiranya hak kebebasan beragama dan kepercayaan telah diberikan kepada minoriti yang beragama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme atau lain-lain agama, mengapa kami dicaci, dihina, difitnah dan kini diugut semata-mata kerana mengamalkan kepercayaan kami turun-temurun sejak nenek moyang kami, iaitu Mazhab Ahlul Bait atau Syiah Imamiah yang dianuti lebih 200 hingga 500 juta umat Islam seluruh dunia."

Pengikut Syiah Imamiyah dari gombak ini muncul di hadapan media buat kali pertama setelah premis mereka diserbu oleh JAIS minggu lalu. Sambil memperkenalkan Syiah sebagai ajaran yang cintakan kedamaian dan tidak mengancam keselamatan negara tercinta, Kamil Zuhairi menegaskan ajaran Syiah Imamiyah tidak boleh di samakan dengan Syiah di tempat yang lain.

"(Kami) tidak akan menumpahkan darah, tidak akan bersubahat, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan militan, keganasan dan persenjataan yang dapat meletakkan negara tercinta dalam kedudukan bahaya," katanya sambil menegaskan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung elemen itu.

Beliau turut meminta pihak JAIS dan pengarahnya Datuk Khusrin Munawi dan penguatkuasa jabatan itu membuat permohonan maaf secara terbuka kerana "mengakibatkan fitnah dan kekeliruan terhadap mereka".

Turut dituntut memohon maaf ialah pihak media dan Datuk Dr Hassan Din yang dilaporkan berkata, perkahwinan dengan pengikut Syiah boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir boleh dikategorikan sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf.

Kamil Zuhairi menjelaskan kekeliruan yang timbul terhadap Syiah Imamiyah terjadi akibat tiada dialog dan kajian yang tersusun daripada sarjana mengenai fahaman itu.

Berita ini dalam bahasa Inggeris dan Parsi:

Malaysia Shiites Protest at Discrimination after Arrests

جامعه شیعیان مالزی خواستار عذرخواهی اهانت‏کنندگان شد

SEBARAN MEDIA

1. Pada 15hb  Disember, 2010 / bersamaan 09hb Muharam 1432, bertempat di Hauzah Ar Ridha (as), Sri Gombak, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan antara pukul 10.15 – 12. 00 malam pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dikepalai oleh pengarahnya, Muhammed Khusrin bin Munawi bersama-sama kakitangan (JAIS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), berserta pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah memecah masuk dan menyerbu ke dalam Hauzah Ar Ridha (as), Sri Gombak, Batu Caves, Selangor. Ketika itu sedang berlangsung Majlis Tahlil Arwah untuk Saidina Hussein (rd) cucunda kepada  Rasulullah Muhammad s.a.w .


2. Tindakan (JAIS) menceroboh dan memecah masuk  ke Majlis Tahlil Arwah Saidina Hussein yang  sedang  berlangsung  pada malam tersebut tidak ada kaitan sama sekali dengan penyebaran fahaman Pencinta  Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah), kepada mana-mana pihak di Selangor atau di Malaysia. Majlis dilakukan secara tertutup di premis yang sah dan Majlis Tahlil Arwah tersebut hanya bertumpu kepada memperingati arwah cucuanda Rasulullah, Nabi Muhammad (s.a.w.) dalam Kalendar Umat Islam.

3. Jaminan hak-hak kebebasan untuk beragama diperakukan dalam Perkara 18, Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 dan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Deklarasi Amman, Jordan 2008 oleh  Pertubuhan Dunia  Negara-Negara Islam (OIC) juga memberi jaminan hak beragama diberikan kepada Komuniti Pencinta  Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w.( Syiah).

4. Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia adalah sebahagian daripada masyarakat besar Pencinta Ahlul Bayt seluruh dunia yang berjumlah sekitar 200-500 juta umat Islam.

5. Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia TIDAK BOLEH DISAMAKAN dengan masyarakat Syiah di rantau lain, seperti rantau Indo-Pakistan, Asia Tengah atau Timur Tengah yang mempunyai tradisi dan kebudayaan berbeza. Kami minoriti Syiah di Malaysia mempunyai jati diri yang khusus. Adalah kami minoriti Syiah di Malaysia tidak boleh digeneralisasikan sama seperti umat Islam Syiah di rantau lain.

6. Ahli Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia datang dari pelbagai jalur etnik Melayu dan umat Islam yang mana mazhab Ja’fari (mazhab fikah Syiah) ADALAH MAZHAB ASAL KAMI.

7. Oleh kerana tiadanya dialog dan wacana di antara pihak berkuasa agama tempatan dengan komuniti kami (Syiah) di Malaysia maka telah berkembang kejahilan, kekeliruan dan salah anggap yang sangat besar terhadap kami.

8. Etnik Melayu yang berketurunan Aceh, Minang, Bugis, Jawa, (hanya beberapa contoh) dan umat Islam dari keturunan Siam-Ayuthya, Pakistan dan Arab terdapat sebahagian kecilnya adalah pendokong Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w Syiah sejak turun-temurun (daripada nenek moyang). Kami mempunyai bukti atau hujah akademik serta warisan sejarah keluarga yang mesti diperakukan menurut Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa kami adalah bermazhab Syiah atau mengamalkan fikah Ja’fari sebagai MAZHAB ASAL kami.

9. Ekoran tiadanya dialog dan kajian sejarah, budaya dan etnik yang tersusun dari pihak berkuasa dan juga sarjana akademik tempatan menyebabkan kami telah disudutkan dan tidak diketahui kewujudannya sekian lama.

10. Fitnah yang disebarkan mengenai kami Pencinta Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di Malaysia mengakibatkan salah faham yang sangat buruk terhadap kami. Salah faham yang buruk ini mendorong pewartaan undang-undang yang tidak adil buat kami. Antara fitnah yang dilemparkan ialah:

a.) Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bayt (keluarga)  Rasulullah Muhammad s.a.w (Syiah) menghalalkan darah saudara–saudara  kami yang sebangsa dan seagama dari golongan Sunnah. Kami ingin menegaskan bahawa terdapat antara penganut Syiah atau Ja’fari dalam kalangan kami berkahwin dan hidup dalam masyarakat ahlus sunnah wal jamaah secara rukun damai secara turun-temurun.

b.) Sebagai sebuah masyarakat, kami tidak dapat mengawal setiap penganut mazhab Syiah atau Ja’fari. Perbuatan segelintir daripada kami tidak dapat dihujahkan mewakili seluruh komuniti. Selain itu mesti diingatkan di sini, oleh kerana tiadanya sebarang dialog dan ruang untuk kami bersuara, terdapat banyak kekaburan dan kekeliruan tentang konsep-konsep ajaran Syiah disebarkan.

11. Perbuatan tidak bertanggungjawab Mohammed Khusrin Munawi selaku Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor terhadap kami mengakibatkan fitnah dan kekeliruan terhadap masyarakat besar Pencinta Ahlul Bayt (Syiah) seluruh dunia yang berjumlah sekitar 200-500 juta umat Islam semakin dipanjangkan. Aksi tidak bijak ini boleh menjejaskan imej Malaysia di luar negara.

12. Kami Komuniti Pencinta  Ahlul Bayt (keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) di  Malaysia percaya kami telah dijadikan bahan uji, adu domba dan diKambing Hitam oleh pihak yang  tidak bertanggungjawab, seperti yang dipelihatkan oleh tindak-tanduk Mohammed Khusrin Munawi (JAIS), Media Cetak/Elektronik, bloggers dan pemuka agama. 

13. Tidak akan menumpahkan darah, tidak akan bersubahat, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan militan, teror dan persenjataan yang dapat meletakkan negara tercinta dalam kedudukan bahaya. Kami juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membendung sebarang elemen atau anasir militan, teror dan ganas. Sentiasa menjunjung dan memperakukan institusi beraja dan perlembagaan Malaysia serta taat setia Yang Dipertuan Agong. Tidak akan terlibat dalam sebarang bentuk tindakan yang boleh menggugat keselamatan negara ini.

14. Kami Komuniti  Pencinta  Ahlul Bayt (Syiah) di Malaysia memohon perlindungan  HAK dari  SUHAKAM berpaksikan Perlembagaan Malaysia agar hak minoriti kami sebagai rakyat Malaysia dilindungi oleh pihak–pihak yang berwajib. Sekiranya hak kebebasan beragama dan kepercayaan telah diberikan kepada minoriti yang  beragama  HINDU, BUDDHA, KRISTIAN, SIKHISM atau  lain lain  agama, mengapa kami dicaci, dihina, difitnah dan kini diugut semata-mata kerana mengamalkan mazhab kepercayaan kami turun-temurun sejak nenek moyang iaitu ‘Mazhab Ahlul Bayt’ atau Syiah Imamiyah (mazhab fikah kami: Ja’fari) yang dianuti lebih 200-500 juta umat Islam seluruh dunia.


TUNTUTAN

1. Kami Komuniti  Pencinta  Ahlul Bayt (Syiah) di Malaysia dan Syiah seluruh dunia menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Mohammed Khusrin bin Munawi dan Jabatan Agama Islam Selangor setelah beliau dan jentera di bawahnya mencabul hak-hak kami dan menfitnah kami dengan dahsyatnya.


2. Kami Komuniti Pencinta  Ahlul Bayt (Syiah) di Malaysia dan Syiah seluruh dunia menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada media cetak dan elektronik yang menfitnah kami tanpa asas kukuh.

3. Kami Komuniti Pencinta  Ahlul Bayt (Syiah) di Malaysia dan Syiah seluruh dunia menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada ulama dan pemuka agama yang menfitnah kami, khususnya Hassan Din al-Hafiz yang dalam laporan Berita Harian 18 Disember 2010 di halaman 4 memanggil anak-anak kami penganut Syiah sebagai anak tidak sah atau anak haram.

4. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan pihak berkuasa agama semua negeri khususnya Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

5. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan pihak berwajib iaitu Perdana Menteri Malaysia. Kami percaya slogan 1Malaysia yang digagaskan oleh beliau bemaksud untuk mendakap seluruh minoriti yang ada dan diberikan hak-haknya selaras dengan semangat perlembagaan.

6. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan penggubal undang-undang (ahli parlimen) sebagai wakil rakyat kami.

7. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan semua entiti politik termasuk parti pembangkang.

8. Kami Syiah Malaysia menawarkan dialog dan ingin menghulurkan salam perkenalan dan perbincangan dengan semua entiti sosial seperti badan-badan bukan kerajaan.

Kamil Zuhairi  Ab Aziz.
Ketua Minoriti Pencinta Ahlul Bayt (Keluarga) Rasulullah Muhammad s.a.w. (Syiah) Malaysia


 



http://www.abna.ir/data.asp?lang=15&id=218727